PERMATA KCFC

PERMATA KCFC

Daineleffino atau lebih popular dengan panggilan ‘budak’.

‘Budak’ permata dari Mukah


BINTANG muda Daineleffino Bin Aiho, 22 berazam untuk mencipta kejutan disebalik peluang dimiliki menyarung jersi pasukan Kuching City FC musim ini.

Sekali gus, mahu menjadikan penampilan musim pertama dalam kancah Liga Premier 2021 bersama The City Boys sebagai landasan dalam merealisasi keinginan tersebut.

“Berasa gembira dan teruja apabila mendapat kepercayaan bermain bersama skuad senior (Kuching City FC).

“Dengan peluang yang ada ini saya akan cuba memberikan persembahan terbaik sebagai membalas kepercayaan diberikan pihak pengurusan,” ujar Daineleffino yang lebih popular dengan panggilan ‘budak’ dikalangan rakan-rakannya.

Bintang kelahiran Kampung Petanak, Mukah yang merupakan anak didik lagenda sepanjang zaman ‘Jamal Wasli’ itu antara muka baharu yang diserap ke dalam skuad kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Pemain yang beraksi diposisi tengah itu antara watak penting dalam skuad Piala Belia Sarawak 2018 selain pemain utama skuad Piala Presiden Kuching FA 2020.

Dalam pada itu, Daineleffino mengakui cabaran getir menanti dirinya untuk cuba merebut tempat utama dalam skuad musim ini.

Bagaimanapun katanya, beliau percaya peluang tetap ada cuma dia harus lebih fokus sepenuhnya selain siap sedia untuk bersaing dengan pemain lebih berpengalaman.

“Bukan mudah untuk merebut tempat dalam senarai utama kerana skuad musim ini dibarisi ramai pemain berpengalaman.

“Ironinya, saya akan cuba sedaya upaya untuk kearah itu kerana dalam falsafah hidup saya tiada yang mustahil untuk dilakukan jika mahu berjaya dalam sesuatu kerjaya,” tambah beliau lagi.

Share News: